Monday, February 14, 2011

Premis maut


Tapak Warisan Dunia tidak dipulihara bahayakan orang ramai


KESAN kebakaran bangunan perang di Tapak Warisan Dunia, bahayakan nyawa awam.
Gambar kecil Mohd Razam.


GEORGETOWN: Kehadiran banyak rumah kedai dan bangunan sebelum perang di sekitar bandar ini terutama di kawasan Tapak Warisan Dunia, mampu menggamit kedatangan pelancong khususnya dari luar negara untuk melihat warisan sejarah silam.

Namun, jika premis terbabit tidak diselenggara dengan baik dan sempurna, ia bukan saja menyakitkan mata memandang, malah boleh mengundang bahaya kepada penghuni atau orang ramai yang berada di situ, ketika kebakaran.
Malah, berdasarkan perangkaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang yang menyaksikan empat kes kematian dan tiga kecederaan akibat kebakaran di premis berkenaan dalam tempoh dua bulan lalu, tidak keterlaluan dikatakan bangunan daif itu mampu menjadi perangkap maut kepada orang ramai.
Dalam kejadian pada 22 Disember lalu, tiga beranak terbunuh apabila rumah kedai menjual peralatan sembahyang Cina, di Jalan Perak di sini, terbakar. Premis itu turut dijadikan tempat tinggal keluarga mangsa.

Pada 30 Januari lalu, seorang warga Bangladesh maut, manakala tiga lagi termasuk dua kanak-kanak cedera apabila sebuah rumah kedai barangan lusuh, yang turut dijadikan kediaman, di Lebuh Nordin, di sini, terbakar.

Malah, dalam tempoh itu, kira-kira 10 kes kebakaran dilaporkan. Berikutan kekerapan kejadian kebakaran itu, timbul persoalan sama ada rumah kedai dan bangunan di bandar ini, termasuk sebahagiannya terletak di dalam Tapak Warisan Dunia, benar-benar selamat diduduki.

Adakah kekerapan kebakaran itu ada kaitan dengan struktur premis yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu atau batu konkrit lama, selain pemasangan atau penyambungan haram termasuk pembinaan bilik tidur di loteng bangunan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, Mohd Razam Tajarahim, mengakui andaian itu ada kebenarannya tetapi membabitkan sebilangan kecil daripada ribuan bangunan dan rumah kedai.

Katanya, struktur penyelenggaraan bangunan penting kerana kebanyakan bangunan zaman sebelum perang diperbuat daripada kayu lama dan batu serta konsep keselamatan yang diambil mudah.

"Jika dilihat kepada kes kebakaran, banyak bangunan itu dijadikan rumah kediaman, gudang dan premis perniagaan," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi ada segelintir pemilik atau pengusaha premis menyimpan bahan mudah terbakar dalam premis masing-masing dalam kuantiti yang banyak sehingga laluan masuk dan keluar agak terbatas.

Akses jalan masuk dan keluar juga terhad, selain pembinaan tangga kayu yang menyukarkan laluan keselamatan setiap kali berlaku kebakaran dan ini turut mengundang pelbagai masalah kepada kerja memadam kebakaran.

"Pemasangan struktur dalam premis tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan antara faktor yang menyumbang kepada kes kebakaran,” katanya.


sumber: berita harian Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


No comments:

Post a Comment