Friday, April 15, 2011

Anggota Bomba, Anak Perempuan Maut Dirempuh Lori

BUKIT MERTAJAM, 13 April (Bernama) -- Seorang anggota bomba dan anak perempuannya maut selepas motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh sebuah lori di Km 148.9 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Azman Ab Lah berkata dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6.45 pagi itu, Abdul Samat Arshad, 49, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan anaknya Nurul Irdani, 13, dirempuh berhampiran susur keluar ke Bukit Tambun di sini.

Menurutnya, ketika kejadian Abdul Samat dalam perjalanan dari Nibong Tebal ke Sekolah Menengah Kebangsaan Inderawasih dekat Perai untuk menghantar anaknya ke sekolah berkenaan.

"Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terlanggar pembahagi jalan mengakibatkan sebuah lori yang berada di belakang motosikalnya tidak sempat berhenti lalu merempuh motosikal mangsa," katanya.

Azman kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mayat mereka dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke Kampung Masjid, Teluk Kumbar untuk dikebumikan.

Beliau berkata polis sedang mengesan pemandu lori tersebut yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian berkenaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-5382222 atau balai polis berhampiran.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment