PULAU PINANG 22 Dis. – Seorang bapa tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan bagaimana empat ahli keluarganya maut selepas rumah kedai dua tingkat yang mereka duduki musnah dalam kebakaran di Jalan Perak, di sini awal pagi ini.
Heoh Hooi Poh, 57, yang kehilangan isteri, ibu serta dua anak dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu menangis teresak-esak ketika menceritakan usaha anak lelaki yang turut maut dalam kejadian itu ketika menyelamatkan ahli keluarga mereka
“Anak lelaki saya naik semula ke atas untuk menyelamatkan ibu dan kakaknya selepas berjaya membawa neneknya turun. Saya tidak sangka dia juga turut terkorban bersama mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang hari ini.
Kebakaran itu meragut nyawa isterinya, Goey Siew Keow, 56; anak lelakinya, Neoh Soon Aik, 16, dan anak perempuan, Neoh Li Hong, 18.
Ibunya, Lim Chai Hwa, 73, yang berjaya diselamatkan Soon Aik meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dipercayai akibat sesak nafas.
Mayat Siew Kiow dan Li Hong pula ditemui berpelukan di dalam bilik air tingkat atas rumah itu.
Menceritakan kejadian itu, Hooi Poh memberitahu, ketika kejadian, dia bersama semua ahli keluarganya itu sedang tidur di tingkat atas.
Katanya, kebakaran itu hanya disedarinya setelah dia terjaga sebaik sahaja terdengar jeritan Soon Aik kira-kira pukul 2.30 pagi.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, katanya, dia bergegas turun ke bawah untuk membuka pintu dan berharap ahli keluarganya yang lain turun bersamanya.
“Malangnya, saya hanya nampak kelibat Soon Aik sedang memapah ibu saya yang tidak boleh berjalan. Setelah meletakkan neneknya di tempat selamat, saya nampak dia berlari semua ke atas.
“Selepas itu, saya langsung tidak melihatnya. Api yang marak, asap tebal serta keadaan yang gelap menyukarkan saya untuk masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan mereka,” katanya sambil menangis.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Pulau Pinang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 2.50 pagi.
Beliau berkata, lima jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan empat pasukan sukarelawan bomba bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ahmad Izram Osman menafikan dakwaan kononnya pasukannya lewat tiba di tempat kejadian.
Ahmad Izram berkata, dakwaan oleh seorang daripada anggota keluarga mangsa itu adalah tidak berasas kerana bomba tiba sejurus menerima panggilan.
“Antara kesulitan ialah faktor struktur bangunan yang susah ditembusi dari pintu hadapan, lantai beralaskan kayu, susun atur barangan dalam kedai tersebut yang dipenuhi colok dan minyak serta papan tanda kedai hadapan bangunan menyukarkan anggota penyelamat untuk memasuki premis itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sumber berita dari : Utusan Online
No comments:
Post a Comment