KEPALA BATAS: “Anak aku ya Allah...anak aku ya Allah!” Hanya itu perkataan terhambur daripada bibir seorang ibu yang kehilangan anak lelakinya dalam kebakaran sebuah rumah papan dua tingkat di Permatang Nibong, dekat sini, semalam.Noramalina Mat Ariffin, 25, tidak dapat menahan kesedihan dengan tragedi yang meragut nyawa anak keduanya, Mohammad Irfan Abdul Rashid, 5, sehingga terpaksa ditenangkan jiran. Mayat Mohammad Irfan ditemui dalam keadaan 70 peratus rentung di dalam bilik di tingkat bawah rumah mereka selepas anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran.Sebelum kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, hanya Noramalina dan anak lelakinya itu berada di rumah, manakala suaminya, Abdul Rashid Ismail, 31, pergi ke sawah.Dua lagi anak pasangan itu, Norafikah, 7, berada di sekolah agama manakala anak bongsu, Mohammad Ikmal, 3, dibawa saudara mereka ke kedai berhampiran.Noramalina berkata, sebelum kejadian, dia memasak dan Mohammad Irfan bermain di tingkat atas rumah papan dua tingkat itu seorang diri.
“Saya menyedari tingkat atas rumah terbakar dan menjerit memanggil Irfan, tapi dia tidak turun. Saya cuba naik, tapi gagal kerana api marak cepat menyebabkan saya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.Difahamkan, bapa Noramalina, Mat Ariffin Hassan, 62, yang pulang ke rumah sejurus diberitahu kejadian itu cuba masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan Mohammad Irfan, tetapi gagal, malah dia cedera di badan dan tangan.Sementara itu, Abdul Rashid berkata, Mohammad Irfan sering tidur lewat kerana menunggunya pulang untuk tidur bersama, tetapi pada malam kelmarin, anak keduanya itu tidur lebih awal.
“Selalunya dia tidur lewat kerana tunggu saya pulang sampai jam 2 pagi, tetapi pada malam kelmarin, jam 10 malam dia sudah tidur. Tak sangka itu petanda kami akan kehilangannya,” katanya yang ditenangkan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh turut melawat dan menghulurkan sumbangan bencana alam RM1,000 kepada mangsa.Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Hadzi Mohamed Yusoff, berkata tiga jentera masing-masing satu dari Bandar Perda, Prai dan Bukit Mertajam dengan 35 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 11.59 pagi.Menurutnya, selepas api dikawal lima minit kemudian, pihaknya menemui mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan 70 peratus rentung.“Selain mangsa, seorang warga emas juga cedera pada anggota badan dan tangan ketika cuba menyelamatkan mangsa,” katanya.
Sumber berita : Mymetro Online
No comments:
Post a Comment