BUTTERWORTH: Seorang lelaki rentung, manakala isterinya parah serta melecur di seluruh tubuh apabila van yang mereka naiki terbakar selepas bertembung sebuah kereta di Jalan Bagan Lalang di sini, semalam. Turut terbunuh dalam kemalangan jam 6.40 pagi ialah pemandu Perodua Viva, akibat kecederaan di kepala.
Lim Kui Thang, 25, dan isterinya, Loh Geik Ting, 25, dari Taman Bagan Lalang, dalam perjalanan ke Taman Chai Leng, Prai untuk berniaga. Pemandu kereta dikenali sebagai A Mogan, 26.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala Geik Ting yang dirawat di hospital sama, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Superintendan Mohd Sukri Awang yang mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan lanjut masih dijalankan. Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Butterworth, Zulkifli Harun, berkata enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.46 pagi.
Sebaik pasukan itu tiba di tempat kejadian, mereka mendapati bahagian depan van sedang terbakar, tetapi api berjaya dikawal dua minit kemudian.
“Pemandu van didapati rentung dan kami mengeluarkan mayat pemandu Perodua Viva yang cedera parah di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna laluan itu berkata, ketika tiba di tempat kejadian, Geik Ting meraung kesakitan di tempat duduk depan van yang sedang terbakar. Berikutan itu, beliau segera mengangkat wanita berkenaan dengan sebahagian besar pakaiannya terbakar dan diletakkan di tepi jalan. Dia menutup tubuh wanita berkenaan dengan kertas kerana pakaian mangsa hangus terbakar.
“Sebaik sampai, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari van yang terbakar.
“Walaupun api sedang marak, saya membantu mengeluarkannya daripada van tetapi tidak sempat menyelamatkan pemandu van,” katanya
|
ANGGOTA bomba memeriksa dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, semalam. |
Artikel ini diambil dari
http://www.bharian.com.my/ yang bertarikh
18/10/2010.