Saturday, November 27, 2010

Jurujual rentung kereta terbakar

BUTTERWORTH: 19/11/2010..Seorang jurujual rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 12.2 Jalan Lingkaran Luar Butterworth dekat Sungai Puyu, di sini awal pagi semalam.Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, mangsa, Wong Tat Heng, 27, memandu kereta Chevrolet dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menikmati makan malam di Bukit Mertajam.
Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan menyebabkan keretanya terbabas, sebelum merempuh pembahagi jalan di susur keluar Sungai Puyu lalu terbalik dan terbakar. Beberapa penduduk bergegas ke tempat kejadian sebaik terdengar bunyi dentuman kuat, namun tidak dapat menyelamatkan mangsa kerana api marak lalu menghubungi bomba. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Bomba Kanan Dua, P Yellepal, bersama empat anggotanya ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.50 pagi.
Katanya, kereta mangsa masih terbakar ketika pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian dan mengambil masa 15 minit bagi mengawal api. “Pemandu kereta itu didapati rentung seluruh badan dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui kerana musnah dijilat api. “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya. Sementara itu, Ketua Traffik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Superintendan, Mohd Suhaimi Mohd Noor, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 421(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


 
Sumber berita: bhnews@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment