Tuesday, March 8, 2011

Kilang polistirena rugi RM6j

PERAI – Sebuah kilang membuat polistirena, Fegerdala World Foam yang terletak di Plot 40, Lorong Perusahaan Maju 7, dekat sini, rugi kira-kira RM6 juta selepas ia musnah dalam satu kebakaran, awal pagi semalam. Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu dikatakan berpunca daripada sebuah stor menyimpan bahan mentah yang terletak di dalam kilang itu, menyebabkan api marak dengan cepat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua 11 pekerja syif malam yang berada di dalam kilang itu sempat menyelamatkan diri. Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Perai, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, ‘Aazelan Hassan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1.08 pagi dan jentera pertama tiba di sana enam minit kemudian. Menurutnya, ketika bomba tiba, api sudah lebih 50 peratus marak berikutan kilang berkenaan dipenuhi bahan mudah terbakar.
“Kita menghadapi sedikit kesukaran ketika operasi pemadaman dilakukan berikutan punca utama api berada berdekatan dengan kawasan Liquified Petroleum Gas (LPG) dan kita perlu mengawal kawasan itu terlebih dahulu. “Kerugian yang dialami tinggi berikutan kebanyakan bahan yang terbakar adalah terdiri daripada mesin, selain bahan mentah bagi memproses polistirena itu.

“Sebuah kilang membuat besi yang terletak di belakang kilang itu turut kerugian RM1.1 juta selepas beberapa bahagian di kilang terbabit terbakar. Begitu pun, kilang itu tidak berpenghuni berikutan operasinya tamat pada jam 5 petang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
‘Aazelan berkata, seramai 60 anggota dengan kekuatan jentera masing-masing tiga dari Balai Jalan Perak dan Perai, dua dari Perda dan satu dari Bukit Mertajam dan Butterworth bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan kilang itu.
sumber: Sinarharian

No comments:

Post a Comment