Tuesday, January 11, 2011

Nelayan dikhuatiri lemas

KEPALA BATAS 10 Jan. - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat udang bersendirian, berhampiran perairan Kuala Muda, di sini hari ini.
Abdu Samad Zakaria, 53, yang menetap di Kampung Pulau Mertajam, Penaga, dekat sini dipercayai keluar ke laut menaiki bot miliknya kira-kira pukul 7 pagi.
Sekumpulan nelayan berjaya menemui bot Abdu Samad kira-kira 3.2 kilometer dari pantai Kuala Muda pada pukul 10.10 pagi, tetapi dia tidak berada di dalam bot itu.
Penguasa Kanan Bomba (Operasi) Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad berkata, kumpulan nelayan itu cuba bertindak mencari Abdu Samad di sekitar kawasan perairan berkenaan tetapi gagal.
"Kumpulan nelayan terbabit kemudian menunda bot mangsa ke jeti nelayan Kota Kuala Muda, Kedah sebelum membuat laporan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 12.29 tengah hari.
"Sejurus menerima laporan, kita memulakan gerakan mencari dan menyelamat mangsa pada pukul 12.40 tengah hari dengan bantuan unit skuba," katanya kepada pemberita ketika mengetuai operasi mencari berhampiran tempat kejadian di sini hari ini.
Wan Azmi memberitahu, operasi berkenaan turut dibantu pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Sementara itu, isteri mangsa, Noriah Hashim, 58, berkata, dia mendapat tahu berita kehilangan suaminya selepas beberapa penduduk datang menemuinya.
Noriah yang juga isteri kedua Abdu Samad berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika keluar dari rumah untuk ke laut.
"Pagi ini makcik tidak sempat bercakap apa-apa dengannya kerana kebiasaannya dia (Abdu Samad) akan bersarapan di luar bersama rakan-rakan nelayan lain sebelum turun ke laut.
"Selalunya dalam pukul 11 pagi dia sudah balik. Makcik hanya mampu berdoa dan berharap suami makcik selamat," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Pulau Mertajam.
Abdu Samad mempunyai tiga anak berusia 12 hingga 22 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri pertamanya yang menetap di Kuala Muda, Kedah.
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


No comments:

Post a Comment