Saturday, January 22, 2011

Tiga rumah kedai simpan plastik musnah terbakar

BUKIT MERTAJAM: Tiga rumah kedai yang dijadikan gudang menyimpan barangan plastik musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM1 juta di Kota Permai 1 di sini malam tadi.
Dalam kebakaran pada kira-kira jam 11.15 malam itu, tiga rumah kedai tiga
tingkat yang turut menyimpan alat permainan kanak-kanak musnah dengan asap tebal dapat dilihat dari jarak 5 kilometer
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad, berkata 10
jentera bersama 61 anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian sebaik
menerima panggilan pada jam 11.15 malam.

"Api merebak dengan pantas memandangkan gudang berkenaan sarat dengan bahan plastik yang mudah terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, menurut beberapa saksi, kebakaran itu bermula dari tingkat bawah
rumah kedai berkenaan.

"Kita sudah mendapatkan beberapa maklumat serta keterangan daripada pemilik
gudang dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan jumlah
sebenar kerugian ekoran kejadian ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment