Friday, January 7, 2011

Seberang Prai Selatan [SPS] dilanda Banjir Kilat

NIBONG TEBAL 3 Jan. - Hujan lebat selama hampir lima jam pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS) dilanda banjir kilat.Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Sungai Kechil, Kampung Besar, Simpang Ampat Tasek dan sekitar Jawi apabila hujan lebat bermula sejak pukul 8.30 pagi.Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Sungai Kechil di sini mendapati, sebanyak 60 buah rumah dinaiki air sedalam hampir satu meter.Kejadian itu juga disifatkan antara yang terburuk sejak dua tahun lalu kerana air naik dengan mendadak mengakibatkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang-barang.
Menurut seorang penduduk, Abdul Majid Embi, 52, dia tidak sempat untuk menyelamatkan peralatan elektrik dan perabot kerana air naik terlalu cepat."Hujan bermula dari pagi namun tak sangka dalam masa dua jam ia dah mula masuk ke dalam rumah sehingga paras pinggang orang dewasa dan turut melimpahi jalan.
"Memang kejadian ini saya rasa paling teruk biarpun kawasan ini memang sering dilanda banjir," katanya. Pendapat sama diakui oleh Salasiah Din, 54, yang mengakui banjir kali ini amat luar biasa kerana air mula naik sehingga satu meter dalam masa empat jam.
"Masa air mula naik saya tak ada di rumah sebelum dapat panggilan daripada adik yang maklumkan rumah saya mula dinaiki air."Apabila sampai di rumah memang tak banyak barang yang dapat diselamatkan terutama peralatan elektrik dan perabot yang tenggelam," ujarnya.
Bagi Rashid Ibrahim, 64, mujurlah banjir kali ini berlaku pada waktu siang kerana kalau malam mungkin sukar untuk mereka menyelamatkan diri."Sebelum ini beberapa kali air naik pada waktu malam menyebabkan kami kelam-kabut menyelamatkan diri dan mengemas barang-barang.
"Tapi kami juga agak sedih kerana ia berlaku ketika hari pertama persekolahan bermula dan ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah," katanya.Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah SPS, Supritendan Shafien Mamat berkata, beberapa agensi seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menggerakkaan anggota untuk menyelamat mangsa.
Polis juga katanya, mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri dan Persekutuan untuk menyelaras bantuan mangsa.
"Buat masa ini tiada penduduk yang dipindahkan kecuali seorang penduduk orang kelainan upaya yang dipindahkan ke dewan JKKK berhampiran.
"Pengguna kenderaan ringan juga dinasihatkan tidak menggunakan jalan kampung ini, manakala ibu bapa diminta mengawasi anak-anak kecil supaya tidak bermain banjir," ujarnya yang ditemui ketika melawat Kampung Sungai Kechil bersama Penyelaras Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Fuad Mad Isa.

Sumber berita : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment