GEORGETOWN: Seorang anggota polis cedera parah di paha kanan akibat tersepit di antara dua kenderaan pacuan empat roda polis yang remuk dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di Jalan Paya Terubong di sini, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, selain Lans Koperal Amirul Fitri Norrizat, 25, yang juga anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak, seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal, turut cedera ringan dirempuh kereta itu.
Bagaimanapun, pemandu PROTON Persona itu yang berusia 33 tahun, hanya cedera ringan walaupun keretanya remuk dan enjinnya terbakar. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata kejadian berlaku ketika sepasukan enam anggota polis mengadakan sekatan jalan raya di laluan berkenaan.
Sebuah Proton Persona yang dipandu laju menuju Balik Pulau gagal dikawal oleh pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol, lalu melanggar motosikal yang berhenti untuk pemeriksaan polis sebelum merempuh kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di bahu jalan.
Rempuhan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak dan motosikalnya diseret sejauh 150 meter. Kereta itu kemudian merempuh pacuan empat roda polis dan terbakar.
Berikutan kejadian itu, sepasukan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Aziz Ismail, dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam enjin kereta yang terbakar.
“Anggota polis itu kini dalam keadaan stabil dan hanya memerlukan beberapa jahitan di paha,” katanya ketika ditemui selepas melawat Amirul Fitri di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kong Meng berkata, pemandu kereta yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu, ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
Sumber berita : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment